KOTA BHARU 16 Okt. – Jabatan Kesihatan negeri telah membuat persiapan awal dan mengatur perancangan rapi di setiap hospital serta klinik kesihatan awam bagi berdepan kemungkinan banjir di seluruh negeri ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin berkata, persediaan tersebut merupakan keutamaan pihaknya dan tiada istilah persiapan saat-saat akhir kerana banjir merupakan bencana yang sentiasa berlaku di Kelantan.
“Kita sudah mengadakan mesyuarat berkaitan persiapan menghadapi banjir dan antara perkara ditekankan ialah mengenal pasti kawasan berpotensi dinaiki air, pembekuan cuti kakitangan jika perlu, keperluan logistik dan bekalan ubat mencukupi.
“Kita juga sudah sediakan senarai pesakit-pesakit yang berkemungkinan memerlukan rawatan serta penjagaan kesihatan semasa banjir melanda,” katanya.
Beliau ditemui ketika pelancaran Kaseh OKB Leftenan Kolonel Shabki Abdullah dan penyerahan sumbangan Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik OKB di Klinik Penjagaan Luka Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu yang juga Pengerusi Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik OKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad dan Timbalan Pengarah HRPZ II, Dr. Mohd. Yaacob.
Dalam majlis itu, Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik OKB menyumbangkan dua unit televisyen, tiga kerusi roda, sebuah ketuhar dan pelbagai barangan elektronik lain untuk kegunaan para pesakit yang menerima rawatan di Klinik Penjagaan Luka HRPZ II.
Sementara itu, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, sumbangan dengan nilai keseluruhan RM10, 000 tersebut merupakan salah satu inisiatif pihaknya bagi membantu HRPZ II memberi perkhidmatan rawatan terbaik kepada para pesakit.
“Selain sumbangan peralatan elektronik, pihak yayasan turut memberi sumbangan peribadi kepada para pesakit yang menerima rawatan berkala di klinik.
“Kita mahu meringankan beban mereka dari segi kos atau tambang apabila terpaksa berulang alik dari rumah ke hospital,” katanya. – UTUSAN ONLINE
http://m.utusan.com.my/berita/wilayah/kelantan/hospital-klinik-buat-persiapan-awal-hadapi-musim-tengkujuh-1.768714?fbclid=IwAR2rOnz2UyCwWyH6R4N01tkO1FhkQdrYnlwAvghjRL01n5jAbDklEJDi0B0