PASIR PUTEH 10 Mac – Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik Orang Kota Bharu (YKKOKB) memperuntukkan sebanyak RM10,000 setahun bagi membantu kos tambang pesakit kronik berulang-alik ke hospital.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Zaini Hussin berkata, YKKOKB menyalurkan sumbangan itu menerusi pihaknya secara ‘one off’ khusus untuk pesakit yang layak bagi mendapatkan rawatan susulan.
Beliau berkata, sumber kewangan itu akan membantu mengurangkan kos pengangkutan pesakit sama ada dengan kenderaan sendiri mahupun menyewa kenderaan lain seperti kereta sewa, ambulans dan sebagainya.
“Sumbangan ini penting bagi memastikan pesakit dapat pergi ke hospital tanpa terbeban dan ianya menjadi satu pembelaan kepada pesakit miskin.
“Jabatan Kesihatan berterima kasih terhadap sumbangan YKKOKB yang memberikan bantuan tiga unit alat penghawa dingin dan satu unit kerusi perubatn di Unit Bersalin Hospital Tengku Anis (HTA) yang bernilai lebih RM7,000,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Plak OKB di Dewan Rufaida, Hospital Tengku Anis, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi YKKOKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad dan Ahli Lembaga Pengarah YKK OKB, Datuk Kapten Ir. Khairul Mamat.
Sementara itu, Sheikh Dusuki berkata, sumbangan tambang itu adalah alternatif pihaknya bagi membantu pesakit kronik bermula Oktober tahun lalu.
“Pada tahun lalu, sumbangan sebegini dimanfaatkan kepada 50 pesakit kronik yang mendapatkan rawatan dan kita harap lebih ramai pesakit dapat manfaatnya pada tahun ini.
“Menerusi bantuan ini, pesakit kronik akan menerima wang bantuan bermula RM50 ke atas mengikut keperluan bagi membantu mereka berulang-alik ke hospital,” katanya. – UTUSAN ONLINE
https://www.utusan.com.my/berita/wilayah/rm10-000-bantu-kos-tambang-pesakit-kronik-1.857686?fbclid=IwAR0uNuEsE7yqaWBVDb4UEHTCE_B_xKwXFYA5q1O5B3gEse9CC1vcT0vYNTQ